Friday, January 8, 2016

Coretan Pertentangan Kelas Sosial

Seharusnya begitu, saban tahun kita akan mendengar coretan cerita-cerita tipikal. Awal tahun, seperti minggu ini, rancak dengan cerita ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah. Pelbagai cerita keluar, dari yang berbunga kegembiraan sehinggalah kepada cerita-cerita yang menggenangkan air mata.

Sebenarnya, apa yang boleh kita belajar dari semua ini?

Secara ringkas – walaupun hakikatnya, manusia dan kehidupannya tidak sesekali boleh dihuraikan dengan ringkas – semua kekabutan kisah itu adalah skrip jawapan kepada persoalan mengenai gaya fikir rakyat terbanyak.

Kita boleh menyoroti banyak perkara dari kisah-kisah awal tahun. Paling jelas, adalah gambaran jurang perbezaan antara kelas sosial masyarakat.

Mereka di kelas pertengahan yang tersenyum girang dengan kereta mewah, menghantar anak mereka pada hari pertama persekolahan ke muka pintu sekolah yang kokurikulumnya berasaskan sistem pendidikan UK. Mereka semua ini, berada pada satu kelas sosial tertentu.

Dan, pada masa yang sama, ada sebuah keluarga yang hanya mampu mengirimkan si ibu menemankan anak-anak mereka yang siap seragam sekolah yang jelas lusuhnya ke hari pertama persekolahan – kerana bapa keluar menoreh, dengan menaiki motosikal buruk, ke sebuah sekolah jauh di pedalaman.

Dan juga kisah sedih di Penang, abang dan adik terpaksa bergilir-gilir pakaian, kasut dan beg untuk ke sekolah, sehinggakan si adik terpaksa lewat melapor diri ke sekolah kerana si abang perlu ke sekolah terlebih dahulu pada hari pertama untuk mengetahui kelas bagi pengajian Tingkatan 4.

Mudah untuk fahami perbezaan ketara dalam dua situasi di atas, kan?

Itulah realitinya di Malaysia. Mahu tiada mahu, kita perlu mengakui keadaan itu adalah benar wujudnya, dan kewajipan pula ke atas pundak kita untuk mencari jalan penyelesaian bagi merapatkan jurang-jurang pemisah itu. Tidak cukup hanya dengan titisan air mata, kita sewajarnya perlu berbuat sesuatu.

Bercerita mengenai pertentangan kelas sosial, topik ini sudah pun dibincangkan Karl Marx ratusan tahun dulunya lagi. Makna katanya, hal ini bukan perkara baru dalam masyarakat. Antara borjuis gendut dan papa kedana di jalanan, jurang-jurang pemisah ini telah melahirkan ratusan teori-teori sosial.

Dari situ, kita boleh menyatakan, lipatan sejarah tidak pernah sepi dari pertembungan-pertembungan ini. Antara pendorong utama kepada gerakan Pencerahan di Perancis sehinggakan meledaknya Revolusi 1792, adalah hasil dari pertembungan teori-teori sosial yang lahir dari rahim pertentangan kelas sosial.

Berbalik kepada kes di Malaysia, kita boleh bertanyakan beberapa persoalan mudah. Persoalan-persoalan ini penting sebagai batu mula untuk kita menjuruskan rasa sentimen, perkelahian dan idea-idea kepada pilihan-pilihan jalan penyelesaian yang tuntas dan memberi impak yang signifikan.

Persoalan tentang kefahaman dan kesedaran mengenai kelas sosial dan pertentangan yang wujud dalam masyarakat umum.

Persoalan tentang dasar dan keberkesanan pelaksanaannya oleh mereka di peringkat Eksekutif dan Legislatif.

Persoalan tentang amalan kesetaraan dan keadilan oleh pemerintah dalam menguruskan kekayaan negara dan kemampuan mereka memastikan semua kumpulan masyarakat menerima layanan dan tumpuan yang adil.

Persoalan mengenai sikap amanah, integriti dan ketelusan dalam pentadbiran.

Sebenarnya, persoalan-persoalan di atas adalah fundamental kepada faham konsep bernegara dan faham demokrasi. Tanpa tiang-tiang tersebut, semua nilai yang dicanangkan oleh sistem bernegara akan runtuh. Dalam kes ini, jelas dampaknya terhadap sistem nilai dan keruntuhannya seolah-olah inevitable.

Ianya terkait antara satu sama lain. Dengan kata lain, permasalahan ini juga terbentuk berakar akibat ketidakfahaman dan ketidaksedaran masyarakat awam dan kumpulan pengundi sendiri dalam memahami realiti konteks pertentangan-pertentangan antara kelas sosial masyarakat.

Akibatnya, kita sering dimanipulasikan.

Mungkin, antara jalan jauh yang perlu kita berani tempuhi adalah, melalui pendidikan. Kita tiada pilihan yang banyak, jujurnya.