Wednesday, November 9, 2016

Menulis Tentang (Falasi) Trump

9 November (terbalik kepada 11 September) menjadi mimpi ngeri buat sebahagian besar penduduk Amerika Syarikat. Ya, sebahagian besar — Muslim, LGBTQ, kulit hitam Amerika, imigran dan banyak lagi kumpulan minoriti.

Tambah mengerikan apabila kedua-dua Dewan dalam Kongres Amerika Syarikat juga dikuasai sepenuhnya oleh Republikan. Apakah kesan langsung dari monopoli kuasa berbuat keputusan begini, bermula dari White House, sehingga ke Senat dan juga Perwakilan?

Natijah yang kita terbayang pada waktu ini adalah, terkuburnya tatakelola semak dan imbang.

Cuma dalam banyak perkara seputar hampir dua tahun kempen presiden di Amerika Syarikat, hal yang meresahkan (dan sedikit kelakar) adalah bagaimana Trump begitu terbuai dengan falasinya, bahawa kebangkitan dia adalah “a movement against establishment”.

Sehinggakan dalam ucapan kemenangannya, Trump masih dengan falasinya.

“As I’ve said from the beginning, ours was not a campaign, but rather an incredible and great movement, It’s a movement comprised of Americans from all races, religions, backgrounds and beliefs who want and expect our government to serve the people, and serve the people it will.”

Establishment yang dirujuk Trump adalah gerombolan politikus dan manusia berkepentingan yang melata di Washington DC. Pada hakikatnya, dia sendiri juga, lahir dan membesar dari gerombolan tersebut.

Seumpama kuali mengata belanga hitam, demikianlah Trump terhadap Clinton.

Namun, Trump tidak merasa malu menjaja falasinya pada sekumpulan manusia yang tidak berpendidikan (pada hal yang merujuk manusia yang tidak berakal rasional), bahkan menjadikan ianya suatu tema penting sepanjangan kempennya.

Perlawanan yang dijaja Trump, unik katanya, adalah falasi yang tidak berkesudahan.

Perlawanan menentang Clinton, digagahi dengan sentimen dan kebencian.

Perlawanan menentang establishment, yang bunyinya begitu progresif, dihiasi dengan kejahilan.

Perlawanan menentang establishment oleh Trump, hanya bertujuan untuk melahirkan semula establishment yang kelihatan seakan terkubur, paling tidak lapan tahun yang lepas. Iaitu sebuah establishment masyarakat yang mesra keganasan, kebencian dan keterasingan.

Dan, yang terlahir dari perlawanan tersebut, hanyalah segerombolan ignoramus jua. Kita sudah boleh menyaksikan bibit tersebut mula menjalar pada hari ini. Tidak terbayang dek akal kita, selepas empat tahun Trump di kerusi pejabat bujurnya.

Trump mengumpan para ignoramus dengan sosok anti-politically correct, pada menanggapi isu imigran Mexico, kelas pekerja, keganasan ISIS dan hal-hal bersangkut feminisme. Dan, dia berjaya teruk.

Suatu hal yang kita tidak berdaya untuk dangkal lagi, saban ketemu dengan falasi yang dijaja sosok begini. Sudah tentunya, gerombolan ignoramus akan bertempik melolong bersetuju dengan api sentimen begitu.

Seperti halnya yang terjadi di tanah air kita sendiri, gerombolan manusia baju merah yang diketuai oleh Jamal Yunus, apa yang boleh kita harapkan dari gerombolan manusia begitu?

Makanya, dalam rendaman rasa ngeri pada hari ini, kita terbayangkan sosok seumpama Bernie, atau Obama. Sosok yang memberi mimpi kepada kita. Sosok yang tidak tunduk pada desakan pesimis. Sosok yang cerdas, yang cuba mencerdaskan penyokong mereka juga.

Clinton tiada kualiti tersebut.

Meskipun jauh di sudut hati, saya meyakini Clinton tidaklah sejahat yang digambar oleh media, tetapi tetap juga harus kita akui, bahawa Clinton adalah calon yang lemah, yang tidak berupaya untuk memadam falasi Trump.

Pada akhirnya, kita semua tahu kesudahan yang bagaimana pada hari ini. Moga empat tahun yang mendatang, Tuhan cernakan kepada kita hikmah-hikmah yang kita tidak ketahuan lagi, dalam serba kelemasan yang kita hadapi hari ini.