Wednesday, December 7, 2016

Resist.

Dalam tulisan ringkas sebelum ini, saya menulis perihal kelahiran UMNO 2.0 dan menyifatkannya sebagai malapetaka kepada negara kita. Kedengaran agak lancang, tetapi secara peribadi, saya anggap itu sudah cukup lembut.

Boleh saja, kita gelarkan ia sebagai kelahiran kaum bebal, atau gerombolan pandir—yang mengulang tesis masyarakat lambak oleh Ortega Gasset dalam tulisannya pada abad ke-20. Itu lebih lancang dan keras.

Tetapi, tidak cukup dengan gelar-gelar begitu yang bersifat abstrak (atau layaknya, halwa telinga), terapung tiada jawapan. Tidak terlahir dari gelar-gelar begitu, akan sebuah wacana yang boleh menjadi jurutelunjuk fikir dan cakap masyarakat seluruhnya.

Maka, difikirkan, bahawa tiba masanya yang menuntut adanya perubahan pada pendekatan ini.

Perubahan itu, pada maksud kelahiran arus kebangkitan gerakan yang bersifat dengan sifat yang baharu yakni baharu dari sudut kemampuan pencernaan wacana yang berwajah baru dan relevan, pembinaan idealisme yang baru dan relevan, kompas sikap dan moral yang baru dan relevan.

Baru dan relevan, pun begitu masih abstrak, bersifat konsep, masih lagi seputar tema-tema yang besar. Tiada penyudah yang kita boleh catat, tiada strategi dan pendekatan yang kita boleh kedepankan.

Cumanya, kita berada pada satu tahap kesedaran peri pentingnya berkehendak kepada matlamat tersebut. Kita insaf, malapetaka yang sedang melanda sekarang, mewajibkan kita bergerak untuk berbuat sesuatu. Persoalannya, sesuatu itu apa?

Tema paling besar dan cukup popular, adalah kita mahukan perubahan. Semua lapis masyarakat di Malaysia; mahukan perubahan. Acap kali, dan mutakhir, gesaan kepada perubahan adalah disamatarafkan kepada perubahan kerajaan UMNO/BN ke pakatan pembangkang.

Jadinya, faham perubahan kepada rata-rata masyarakat adalah, perubahan kerajaan dari UMNO/BN ke pakatan pembangkang. Jika itu terjadi suatu hari nanti—yakni tampuk perintah kerajaan bertukar tangan, maka kita akan merasa bahawa kita sudah mencapai perubahan yang diidamkan.

Ya, pada rata-rata masyarakat hari ini, perubahan adalah berubahnya tampuk perintah kerajaan. Tidak lebih tidak kurang dari itu. Walhasil faham ini hanya memakan diri kita sendiri. Mengapa?

Faham perubahan begini terhasil dari wacana yang sedang kita mamah saban waktu saban hari, pada hari ini. Wacana anti-UMNO, atau anti-kerajaan. Hari ini, kita akan merasa pelik jika masih wujud mana-mana anak muda yang tidak anti-UMNO. Terus kita akan tertanya-tanya, di mana silap sehingga anak muda tersebut masih tergamak merasa sayang pada UMNO.

Ringkasnya, wacana anti-UMNO sudah bersifat mainstream, popular, tiada lagi keintiman wacana tersebut dengan proses perkembangan idealisme dan gagasan-gagasan kemasyarakatan. Yang berbaki adalah, sentimen. Tukang pandu kepada wacana anti-UMNO, sebahagian besarnya adalah sentimen.

Maka, kita memandang perkara ini sebagai suatu yang tidak sihat, cacat, tercela apabila didekap pada batang tubuh seorang mahasiswa, terutamanya. Perlu ada beza, sosok mahasiswa dengan orang kampung yang tiada ijazah. Makanya, tulisan ini dituju kepada kelompok masyarakat yang digelar mahasiswa.

Saya terfikir akan suatu usaha perlu dilakukan, di peringkat mahasiswa, untuk membawa dan mencernakan idea ini. Kelesuan gerakan mahasiswa pada hari ini, bertitik tolak dari kelesuan wacana yang didokong oleh gerakan-gerakan yang wujud pada hari ini.

Jangan salah faham, bahawa ini juga adalah teori. Maka terbuka kepada mana-mana sisi yang tidak bersetuju dengan teori ini. Wacana—diterangkan contoh dalam perenggan awal—yang bersifat ulangan, tiada pembaharuan, tiada jati diri, menyebabkan wacana tersebut makin lusuh, makin tumpul dan tidak mengancam.

Wacana-wacana, baik dari politiknya, atau ekonominya, atau sosialnya, yang sedia ada pada hari ini, berkisaran depan ke belakang, belakang ke depan, pada pola yang lebih kurang sama. Setiap apa yang dikatakan sebagai “aksi” pun masih sama begitu.

Tiada suatu yang menggugat. Tumpul. Wacananya tidak lagi menjadi igauan ngeri kepada pemerintah, atau sesiapa yang akan mengambil alih tampuk pemerintahan kelak. Ataupun, lagi mengharukan, apabila wacana tersebut tidak mampu menawarkan harapan, mimpi-mimpi.

Wacana yang tersedia ada, sudah menjadi trend, atau imej. Menyedihkan, apabila imej tersebut hanya terlekat pada kulit, bukan isinya.

Seyogia wacana itu memencak idealisme kendiri, menjadikan setiap insan yang mendukung wacana tersebut tidak boleh duduk diam, resah senantiasa, tetapi kini wacana tersebut cuma tinggal laungan kosong, tiada lagi rasa getaran yang menolak-nolak dirinya untuk berbuat sesuatu.

Justeru, saya berhajat untuk memulakan sesuatu dengan mengumpul barang satu dua cebisan catatan dari mana-mana diskusi seputar hal ini, sebagai sebuah siri catatan idea, yang mungkin bersifat longgokan, yang kemudiannya boleh disusun, dianalisis, dibaca semula, ditambah mana yang kurang, dibuang mana yang tiada penting.

Bahawa, pada akhirnya, boleh dijilid sebagai sebuah kertas kerja dengan izin Tuhan sebagai rujukan untuk masa-masa akan datang. Projek ini, adalah projek melawan—bukan melawan UMNO, tetapi melawan arus wacana yang statik, lusuh dan tumpul.

Saya mahu namakan ia sebagai PROJEK RESIST.